Sungai cetek akibat mendapan kelodak antara punca banjir

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 November – Mendapan pasir dan kelodak yang menyebabkan sungai menjadi semakin cetek dikenal pasti sebagai faktor utama yang memburukkan lagi keadaan banjir, selain hujan lebat yang berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelodak dan sampah sarap mengurangkan kapasiti sungai, lalu menyebabkan air melimpah ke kawasan tebing.
  • Kategori banjir kini merangkumi banjir monsun, banjir kilat, banjir pantai, banjir genang dan banjir puing.
  • Penyelesaian jangka panjang perlu mengawal hakisan serta pergerakan kelodak dari hulu, sementara orang ramai digesa melaporkan gangguan sungai.

Menurut Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan, (UMT), Prof Madya Gs. Dr. Mohd Sofiyan Sulaiman, sesebuah sungai mempunyai kapasiti tertentu untuk menampung aliran air.

Kehadiran kelodak dan sampah sarap mengurangkan daya tampung tersebut sehingga menyebabkan limpahan air berlaku di kawasan tebing.

Menurut beliau, berdasarkan matriks semasa, hujan berterusan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh satu jam berpotensi mencetuskan kejadian banjir.

“Bila hujan lebat ditambah dengan tanah runtuh mengakibatkan sungai dipenuhi tanah-tanah yang bergerak dari hulu sampai ke hilir. Kita boleh kenal pasti simptom itu, sungai yang asalnya dua meter kedalaman dan sekarang ini telah berkurangan kepada 0.5 meter adalah petunjuk paling jelas yang kapasitinya telah berkurang daripada asal”, katanya kepada pemberita RTM.

Beliau turut menjelaskan kategori banjir di negara ini kini berkembang daripada dua jenis yang biasa diketahui kepada lima kategori utama berdasarkan sifat dan punca kejadiannya.

“Kalau ikut zaman saya belajar dahulu, kita ada dua jenis banjir yang biasa didengar iaitu banjir monsun dan banjir kilat, tetapi sekarang ni kosa kata kita bertambah daripada dua kepada lima kita ada banjir monsun, banjir kilat, banjir pantai, banjir genang dan juga banjir banjir puing.

“Banjir puing ini istilah baharu iaitu banjir yang disebabkan oleh kita kata pergerakan kelodak atau kayu hanyut di sebelah hulu, manakala banjir pantai disebabkan oleh air pasang besar dan hujan lebat dan banjir genang dia lebih kurang banjir pantai tetapi berlaku di kawasan lembah yang berkecerunan rendah di mana air yang boleh keluar.

Mengulas mengenai langkah mitigasi, kerja-kerja mendalamkan sungai dan pengorekan pasir disifatkan sekadar penyelesaian jangka pendek yang hanya meredakan keadaan buat sementara waktu di kawasan berpenduduk padat atau muara tertutup.

Justeru, penyelesaian jangka panjang menuntut pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan mengawal punca asal berlakunya hakisan serta pergerakan kelodak dari kawasan hulu.

Selain usaha agensi berkaitan, orang ramai turut digesa memainkan peranan aktif dengan melaporkan sebarang tanda awal gangguan sistem sungai menerusi platform aduan digital yang disediakan oleh agensi bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.