fb fb fb fb fb

Sumbangan Tunai Rahmah (STR 3) mula dibayar Isnin ini

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 (STR3) akan mula disalurkan secara berperingkat pada Isnin ini, 26 Jun 2023. Lebih 8 juta golongan B40 layak menerima sumbangan itu.

“Kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan dan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha berbanding perancangan awal pada bulan Julai 2023. Ini adalah bagi meringankan beban kewangan rakyat,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Pembayaran STR 3 membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion; setiap yang layak akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan.

Bayaran akan dikreditkan terus ke akuan penerima bermula pada 26 Jun 2023 sehingga 5 Julai 2023 bagi penerima yang mempunyai akaun bank manakala penerima tiada akaun bank, pembayaran tunai dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), juga bermula 26 Jun 2023 termasuk di Sabah dan Sarawak.

Fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada bulan Januari dan April lepas. Ketiga-tiga fasa STR itu melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun 2023.

Manakala pembayaran fasa keempat STR dijangka pada bulan November 2023. Status kelulusan STR 3 dibuka untuk semakan mulai 26 Jun 2023.

“Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak, tempoh permohonan rayuan juga akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai 2023.” menurut kenyataan tersebut.

Bagi permohonan yang ditolak, pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my.


(Pegawai LHDN Negeri Sembilan membantu orang ramai mengemas kini maklumat peribadi
untuk pembayaran STR2/Foto fail BERNAMA)

Media Baharu