fb fb fb fb fb

Sumbangan Malaysia kepada Turkiye bukti keakraban kedua-dua negara

(Foto Bernama)

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Penyaluran dana kemanusiaan berskala besar Malaysia ke Turkiye bukti keakraban kedua-dua negara, terutama ketika mendepani cabaran semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sumbangan kecil itu bagi meringankan beban negara berkenaan, setelah dilanda bencana gempa bumi Februari lalu.

Menurutnya, Turkiye juga telah menyumbangkan RM100 juta kepada syarikat-syarikat Malaysia ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

"Setinggi penghargaan kepada mereka yang berkhidmat. Duta Besar Turkiye dia sahabat, ada yang bertanya, kritik saya kenapa beri banyak kepada Turkiye.

"Semasa kita hadapi masalah awal ketika covid dan ekonomi menurun, banyak pelabur kita di Turkiye, dan pada masa itu Presiden Recep Tayyip Erdogan dan kerajaan Turkiye membantu mencecah RM100 juta untuk selamatkan syarikat-syarikat Malaysia.

"Jadi persahabatan kita dua negara dan saya sebagai sahabat peribadi, tentunya mereka dalam keadaan susah, kita ringankan. Sumbangan kecil untuk ringankan beban," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau berucap pada majlis Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Tahun 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia Ke Turkiye di Parlimen.

Media Baharu