(Foto fail)
AYER KEROH, 7 Mac- Kerajaan negeri Melaka melalui Unit Kerajaan Tempatan (UKT) akan mengadakan sesi libat urus bersama 500 pemilik premis Pengurusan Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian (CII) bagi menyelesaikan isu kutipan sampah.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Zaidi Attan, sesi itu akan berlangsung pada 9 Mac ini di Dewan MPJ Lipat Kajang, Jasin.
Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri juga akan terlibat untuk mengkaji dan meneliti semula cadangan melantik kontraktor pemungut sampah domestik yang telah ditamatkan perkhidmatan di semua kawasan PBT.
”Jumlah kos bagi kedua-dua perkhidmatan ini berbeza. Jadi kita perlu dapatkan persetujuan di peringkat pemberi pekhidmatan maksudnya kontraktor pungutan sampah negeri dan juga persetujuan dalam kalangan pemilik premis kerana mengikut akta kita di peringkat PBT sebenarnya tidak boleh mengangkat sampah. Ia telah pun diserahkan kepada SWCorp sebagai pengurus perkhidmatan sisa pepejal negara,"kata Zaidi kepada pemberita di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Konsesi syarikat penyedia perkhidmatan memungut sampah di Melaka telah ditamatkan pada 1 Februari lalu.
Sehubungan itu, premis CII diberi tempoh 90 hari bermula pada 1 November 2022 sebagai persediaan penguatkuasaan peraturan dan melantik syarikat pemungutan sisa pepejal berlesen.
(Datuk Zaidi berkata sesi libat urus, selesaikan isu kutipan sampah)