PUTRAJAYA, 23 Oktober – Kementerian Komunikasi menerima sumbangan penajaan berjumlah RM22.31 juta bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, hasil kerjasama strategik dengan pelbagai sektor korporat dan swasta.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan itu merangkumi RM1.96 juta dalam bentuk tunai, manakala RM20.35 juta lagi berupa barangan serta perkhidmatan yang digunakan sepanjang tempoh sambutan.
“Peningkatan jumlah sumbangan tahun ini menunjukkan kejayaan kementerian memperkukuh kolaborasi dengan sektor swasta dalam menyemarakkan semangat patriotisme,” katanya pada Majlis Apresiasi HKHM 2025 di Putrajaya.
Menurut Datuk Fahmi, seramai 123 rakan strategik terlibat dalam penajaan tahun ini, dan beliau berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi sambutan HKHM pada masa akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan kelancaran siri sambutan bermula dari pelancaran Bulan Kebangsaan di Muar pada 27 Julai, hingga sambutan kemuncak Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Hari Malaysia di Pulau Pinang.
“Saya yakin sambutan pada masa akan datang akan terus lebih gemilang dan meriah, disemarakkan dengan semangat perpaduan serta patriotisme,” katanya.