KLANG, 23 Oktober - Istiadat Persandingan Diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung dengan penuh adat istiadat dan tradisi di Istana Alam Shah, di sini, malam tadi.
Istiadat disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut berangkat, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pasangan diraja mengenakan busana songket kuning cair dan diiringi alunan orkestra ketika melangkah masuk ke Balairung Seri.
Acara diserikan dengan adat merenjis oleh Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin serta bonda kepada Tengku Amir, Nur Lisa Idris Abdullah dan kerabat diraja.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, sebelum para tetamu diraikan dalam Majlis Santapan Diraja di Balai Santapan Diraja.
Terdahulu, pasangan diraja itu selamat diijabkabulkan pada 2 Oktober lalu di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.
