JOHOR BAHRU, 22 Oktober - Kerajaan Johor mengeluarkan notis pemindahan 30 hari kepada penduduk setinggan di Jalan Kebun Teh, di sini yang dikenal pasti menjadi tumpuan penempatan haram warga asing.
Menurut Ahli Dewan Negeri Larkin, Mohd Hairi Mad Shah, langkah tersebut bukan bersifat pengusiran, sebaliknya memberi ruang secukupnya untuk penduduk berpindah secara teratur dari tanah rizab kerajaan negeri.
"Mereka terdiri daripada 36 buah keluarga yang masih mendiami kawasan berkenaan," katanya.
Tambah beliau, sebelum ini 11 unit kediaman kosong di lokasi sama telah dirobohkan selepas dikenal pasti tidak lagi berpenghuni.
"Kawasan setinggan ini berada dalam kawasan bandaraya yang sekelilingnya pesat membangun. Kita tidak mahu penempatan haram ini yang majoritinya warga asing terus berada di tengah-tengah bandar ini," jelas beliau yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon memaklumkan tindakan merobohkan rumah kosong terbabit dilaksana hasil bancian dilakukan sebelum ini.
"Pejabat tanah sudah melakukan bancian. Oleh itu mereka tahu rumah mana yang kosong dan ada penghuni," katanya.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,422 buah rumah setinggan di empat kawasan sekitar DUN Larkin telah dikenal pasti untuk dirobohkan.
Tindakan itu selaras dengan aspirasi Sifar Setinggan kerajaan Johor yang memfokuskan penempatan lebih tersusun dan selamat.