PUTRAJAYA, 22 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebagai antara yang paling signifikan dalam sejarah rantau ini kerana mencerminkan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempertahankan prinsip kesederhanaan serta prinsip kepusatan serantau.
Beliau berkata sidang tersebut bukan sahaja menghimpunkan anggota ASEAN malah turut menarik perhatian pemimpin dan rakan strategik dari seluruh dunia.
"Sidang kali ini bukan sekadar melibatkan rakan dialog tradisional, tetapi turut disertai pemimpin luar termasuk Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan serta wakil Kesatuan Eropah.
"Ini membuktikan strategi baharu Malaysia dan ASEAN dalam memperluas jaringan persahabatan global,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia turut berbangga kerana menjadi tumpuan dunia ketika ini hasil kerjasama penuh semua pihak, khususnya Kementerian Luar yang menyelaras ratusan mesyuarat sepanjang tahun ini.
"Tahun ini merupakan antara tahun paling aktif dan dinamik dalam sejarah ASEAN dengan pelbagai persidangan di peringkat pegawai serta menteri merangkumi aspek ekonomi, pelaburan, geopolitik, keselamatan, digital, kecerdasan buatan, komunikasi dan tenaga. Ini satu kebanggaan kepada negara,” jelas beliau pada Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini.
Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Ahad ini hingga 28 oktober.