BUKIT GANTANG, 22 Oktober - Isu pemilikan lesen pendudukan sementara (LPS) yang dihadapi pengusaha dan penternak kerang di beberapa kawasan pesisir di Perak akan diselesaikan secepat mungkin.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Hoarun berkata, kerajaan negeri mengambil maklum terhadap permasalahan yang dihadapi beberapa pengusaha kerang yang masih belum memperoleh kelulusan LPS walaupun telah lama mengusahakan ternakan itu secara aktif.
"Dan ini satu perkara yang kerajaan negeri berikan perhatian supaya mereka yang betul-betul pengusaha sebagai pekebun kerang ini diberikan keutamaan untuk mendapatkan lesen atau LPS ataupun tol kepada mereka untuk mereka memudahkan mereka mencari rezeki yang halal.
"Selain tanpa ada sebarang gangguan dan ketakutan kepada pihal berkuasa dan sebagainya", katanya.
Tambah beliau, masalah itu turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akuakultur Negeri baru-baru ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemerkasaan Persatuan Nelayan dan Kelestarian Sumber Laut di Jeti LKIM Sungai Kerang, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentuasa komited dalam usaha memperkukuhkan sektor akuakultur negeri termasuk melalui dua projek di kawasan setempat dengan peruntukan berjumlah RM400,000.
Ujarnya, sebanyak RM300,000 diperuntukan kepada Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) bagi Projek Ternakan Kerang, manakala Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Tinggi menerima RM100,000 bagi Projek Ternakan Ketam Nipah.