fb fb fb fb fb

ILO puji usaha Malaysia pacu pembangunan modal insan, kemahiran masa depan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober - Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo, menyokong usaha Malaysia dalam memacu agenda pembangunan modal insan dan memperkasa kemahiran tenaga kerja bagi menyokong peralihan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Houngbo memuji kemajuan pesat Malaysia dalam pembangunan tenaga kerja serta penekanan kerajaan terhadap peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan dalam pembangunan kemahiran amat penting untuk memastikan pekerja tidak tercicir dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.

"Apabila bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, isu tenaga kerja dan pembangunan kemahiran menjadi amat penting.

“Bagi memastikan pekerja tidak ketinggalan, pelaburan besar dalam pembangunan kemahiran amat kritikal,” tegasnya sambil menekankan sektor swasta sebagai pemain utama dalam ekosistem ini.

Houngbo turut memuji penganjuran Global Skills Forum (GSF) 2025 di Kuala Lumpur yang bertemakan 'The Role of the Private Sector in Skills Development: Driving Innovation and Impact'.

Forum tersebut menjadi platform utama bagi pembuat dasar global untuk membincangkan peranan sektor swasta dalam memperkasa pembangunan kemahiran tenaga kerja masa depan.

Beliau menyifatkan GSF 2025 sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran, sambil menekankan bahawa kolaborasi antara kerajaan dan sektor swasta adalah kunci untuk memacu inovasi dan memastikan tenaga kerja bersedia menghadapi cabaran global.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN