fb fb fb fb fb

Rundingan dagangan Malaysia-AS hampir dimuktamad – PM

Perdana Menteri memberi taklimat kepada ketua-ketua pengarang tempatan dan antarabangsa /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang merangkumi isu tarif, perdagangan dan pelaburan kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Putrajaya berhasrat menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman awal dengan Washington, susulan maklum balas positif yang diterima sepanjang rundingan yang berlangsung sejak beberapa bulan lalu.

“Sudah tentu, sesetengah rundingan secara semula jadinya sukar dan boleh menjadi rumit, tetapi matlamat utama adalah untuk mencari jalan bagi memperkukuh perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya pada sesi taklimat bersama ketua pengarang, di sini, semalam.

Tambahnya, sektor semikonduktor merupakan antara fokus utama rundingan, selain bidang kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga.

Kesemua perbincangan dijangka dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa secara adil dan seimbang tanpa menjejaskan hubungan strategik dengan negara lain, sambil mengekalkan tumpuan terhadap hubungan dagangan dengan AS.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN