fb fb fb fb fb

Sultan Terengganu solat Aidiladha bersama lebih 1,500 jemaah

KUALA TERENGGANU, 29 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Lebih 1,500 jemaah bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid sama.

Baginda berangkat pada pukul 7.45 pagi bersama Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az.

Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron mengimami solat sunat berkenaan selain turut membacakan khutbah bertajuk 'hakikat hamba dalam ibadah korban'.

Selepas selesai menunaikan solat, baginda meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata.

Cuaca baik pagi ini di Kuala Terengganu memberi kelebihan buat umat Islam menyambut hari raya korban dalam suasana penuh meriah.

Dalam pada itu, kira-kira 4,000 umat Islam menunaikan solat Aidiladha di Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Berangkat sama di Masjid Negeri, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Seri Utama Khadijah Mohd Nor.

Solat Aidiladha di Pulau Pinang diimami Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Nordin Samah.


()

Media Baharu