KUALA LUMPUR, 29 Jun- Umat Islam di seluruh negara menyambut Hari Raya Haji hari ini.
Sudah menjadi kelaziman, umat Islam juga akan beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat sunat itu.
Di Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 rakyat di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Baginda tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi.
Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Solat sunat Aidiladha diimami Imam utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan dengan tajuk khutbah 'Aidiladha: Ibadah Korban- Bukti Takwa Ke Hadrat Ilahi.
Sementara itu, di Johor, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama 1,000 jemaah.
Turut berangkat, adindanya, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Turut menunaikan solat sunat Aidiladha adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Di Sarawak pula, lebih 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Premier Sarawak, Tan Seri Abang Johari Tun Openg di Masjid Jamek, Petrajaya, pagi tadi.
Turut menunaikan solat sunat di masjid berkenaan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Solat sunat Aidiladha dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan seterusnya menyampaikan khutbah Aidiladha.
Dalam pada itu, di Pahang, hampir 3,000 penduduk sekitar daerah Kuantan mula menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, pada pukul 8.30 pagi tadi.
Jemaah masjid itu diimami Imam Masjid Negeri, Shaifuddin Ngah, diikuti khutbah khas disampaikan Imam 1 Masjid Negeri, Muhammad ‘Izzan Idris al-Hafiz.
Sementara itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, pagi tadi.
Baginda tiba sekitar pukul 8.00 pagi dan menyertai lebih 3,000 jemaah yang hadir.
Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob serta Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Solat sunat Aidiladha diimami Imam Besar Negeri Kelantan, Hana Pizi Abdullah manakala khutbah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamed.
(Foto Istana Negara)