(Foto Facebook Michelle Yeoh)
SHAH ALAM, 14 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh yang mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menurut Selangor Royal Office, Baginda berdua amat mengagumi usaha, bakat dan kejayaan yang diraih pelakon itu di persada antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia.
"Baginda berdua berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada rakyat negara ini untuk terus menabur bakti dan jasa demi meletakkan Malaysia ke tahap terbaik di peringkat global dalam apa jua bidang," katanya.
Terdahulu, pelakon berkenaan berjaya merangkul anugerah paling berprestij di Hollywood bagi kategori berkenaan, menerusi filem “Everything Everywhere All at Once”, yang turut menjuarai kategori Filem Terbaik.
(Foto Facebook Selangor Royal Office)