JOHOR BAHRU, 14 Mac- Klinik Kesihatan Chaah, Segamat dikenal pasti sebagai fasiliti kesihatan paling terjejas selepas ditenggelami air akibat banjir di Johor.
Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata ia melibatkan kerosakan aset bernilai ratusan ribu ringgit.
Bencana itu turut mengakibatkan kehilangan dan kerosakan rekod-rekod kesihatan pesakit.
"Pengoperasian Klinik Kesihatan Chaah yang mempunyai kira-kira 80 petugas, kini ditempatkan secara sementara di balai raya berdekatan.
"Klinik kesihatan itu menerima kira-kira 150 pesakit janji temu sehari, tidak termasuk rawatan secara hadir sendiri.
"Fasiliti kesihatan tersebut kini sedang menjalani kerja pembersihan dan sedang menunggu peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kerja baik pulih," katanya kepada pemberita di sini.
Secara keseluruhan, terdapat 30 fasiliti kesihatan yang terkesan akibat banjir di seluruh negeri, dengan jumlah tersebut berubah-ubah mengikut keadaan semasa paras air.
(Bencana itu turut mengakibatkan kehilangan dan kerosakan rekod-rekod
kesihatan pesakit)