SANTUBONG, 28 Jun- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan berangkat ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF 2024) di Kampung Budaya Sarawak, malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada pukul 8 malam, disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Edisi ke-27 festival yang mengangkat tema ‘Evolusi’, tahun ini membuka tirai dengan penganjuran pelbagai bengkel muzik pada siang, manakala persembahan barisan artis tempatan dan antarabangsa pada sebelah malam.
Antara artis yang menggegarkan pentas hari pertama RWMF termasuk pemenang Anugerah Grammy dan Golden Globe dari Jepun yang terkenal dengan muzik instrumental elektronik, Kitaro dan pemuzik dari negara jiran Rhythm Rebels featuring Selonding Bali Aga.
RWMF 2024 bermula semalam sehingga Ahad ini turut menampilkan persembahan pemuzik tempatan seperti The Borneo Collective yang dianggotai artis ‘otai’ Bumi Kenyalang serta Belle Sisoski turut disajikan pada festival berkenaan.