fb fb fb fb fb

Sultan Selangor seru perpaduan, puji prestasi TH

Foto BERNAMA

DENAI ALAM, 26 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru agar masyarakat Islam khusus di Selangor untuk terus mengekalkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan akibat perbezaan pendapat. 

Baginda bertitah setiap individu perlu untuk mencari titik persamaan dalam berbeza pandangan, serta menjauhi amalan fitnah dan caci-mencaci yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat. 

"Janganlah mengamalkan sikap caci-mencaci dan memfitnah antara satu sama lain kerana ia akan menjadi barah yang akan membunuh perpaduan umat Islam.

Memelihara tali persaudaraan dan memperkukuh ukhuwah serta rasa kebersamaan adalah sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran dalam surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada taliAllah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai," titah baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Berbuka Puasa Ihya Ramadan bersama rakyat dan penyampaian sumbangan hari raya 1446 H di Masjid Denai Alam, Shah Alam.

Hadir mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam majlis itu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM211,500 kepada 423 asnaf di daerah Petaling termasuk 110 asnaf fakir, 239 asnaf miskin dan 74 mualaf.

Baginda turut berkenaan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat utama, dengan jumlah keseluruhan RM7.65 juta.

Antara penyumbang ialah Tenaga Nasional Berhad, Amanah Hartanah Bumiputera, CIMB Islamik Bank Berhad dan Safeguards Secure Solution Sdn Bhd.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang Lembaga Tabung Haji (TH), yang terus berkembang di bawah kepimpinan profesional dan berpengalaman.

Baginda bertitah, pengurusan yang sistematik dan berkesan menjadi faktor utama dalam peningkatan berterusan prestasi TH.

"Kesan kepada perubahan pucuk pimpinan Lembaga Tabung Haji dapat dilihat apabila secara beransur-ansur prestasi Lembaga Tabung Haji telah meningkat dari tahun ke tahun dan pada tahun ini Lembaga Tabung Haji mampu untuk memberi dividen terbaik dalam tempoh tujuh tahun kepada pendeposit.

Beta berharap pengurusan dan pimpinan tertinggi Lembaga Tabung Haji hendaklah terus bebas dari penglibatan orang politik. Beta berdoa agar TH kekal sebagai sebuah Institusi dan syarikat Islam yang berjaya dan dapat terus membantu umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah di samping dapat memberikan pulangan dividen yang menguntungkan kepada para pendeposit," tambah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan bakal jemaah haji dan umrah untuk memilih pengendali pakej berlesen daripada TH bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM