fb fb fb fb fb

Sultan Selangor murka, bimbang peningkatan kes pakej haji palsu

Foto ARKIB

SHAH ALAM, 7 Jun - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka serta menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di negara ini.

Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi adalah dalam kalangan umat Islam sendiri yang sanggup menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi.

Kes terbaharu melibatkan lebih 80 bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dikesan menggunakan visa pelancong, dipercayai ditipu sindiket pakej haji palsu.

Baginda menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji palsu.

Demikian titah baginda dalam hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menggesa mangsa agar segera membuat laporan polis dan menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

MAIS turut menyeru umat Islam agar sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan hanya berurusan dengan ejen berlesen dan diiktiraf, demi menjamin keselamatan dan kelancaran perjalanan suci tersebut.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN