Sultan Selangor berkenan berbuka puasa bersama warga UPM

Foto RTM

SERDANG, 25 Februari -Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga Universiti Putra Malaysia (UPM) dan komuniti Masjid UPM di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Selangor berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti Masjid UPM.
  • Baginda mengurniakan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, mualaf, OKU dan 50 pelajar asnaf UPM.
  • Sultan menerima Dana Zakat UPM RM10.29 juta, wakaf ilmu RM1.21 juta dan sumbangan korporat untuk universiti.
  • WAZAN mengagihkan RM4.9 juta zakat tahun lalu untuk kebajikan, pendidikan dan pembangunan universiti.

Pada majlis itu baginda berkenan mengurniakan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim, mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan asnaf terdiri daripada 50 pelajar UPM.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin selaku Canselor UPM turut menyempurnakan penerimaan pelbagai sumbangan dana, wakaf dan zakat daripada pelbagai pihak kepada UPM.

Baginda berkenan menerima Dana Zakat UPM berjumlah RM10.29 juta yang diuruskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), UPM serta pelbagai sumbangan zakat dan wakaf daripada entiti korporat, agensi dan individu.

Antara sumbangan signifikan yang diterima termasuklah RM450,000 daripada Lembaga Tabung Haji serta RM200,000 daripada Etiqa General Takaful Bhd, di samping zakat perniagaan dan zakat pendapatan daripada syarikat berkaitan universiti termasuk Putra Business School.

Baginda turut menerima sumbangan Wakaf Ilmu UPM berjumlah RM1.21 juta, yang akan menyokong inisiatif akademik, bantuan kewangan pelajar, penyelidikan dan pembangunan fasiliti universiti.

Sultan Selangor kemudiannya menunaikan solat maghrib, isyak dan seterusnya solat tarawih bersama-sama rakyat jelata.

Sementara itu, Pengarah WAZAN UPM Haris Dahlan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM4.9 juta sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata dana yang diamanahkan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu pelajar yang memerlukan, tetapi juga menyokong keseluruhan ekosistem pembangunan ilmu dan kesejahteraan warga universiti.

“WAZAN berfungsi sebagai neraca yang menyeimbangkan keperluan kebajikan, pendidikan dan pembangunan universiti.

“Dana yang disalurkan dirancang secara strategik bagi memastikan impaknya menyeluruh, mampan dan berterusan,” katanya.