KLANG, 8 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas Kapal Diraja, KD Terengganu dan KD Pahang di Pangkalan TLDM Pulau Indah, malam tadi.
Ketibaan baginda yang juga Kepten Yang Dipertua TLDM disambut Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain kira-kira pukul 6.40 petang.
Dalam majlis itu, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada asnaf, mualaf dan keluarga warga TLDM yang menghidap penyakit kronik.
Baginda juga berkenan menyaksikan upacara 'Sunset Ceremony' yang dilaksanakan di KD Terengganu.
Sultan Sharafuddin turut berkenan menunaikan solat maghrib, solat isyak dan solat sunat tarawih bersama-sama 300 warga TLDM.
Keberangkatan Sultan Selangor menyemarakkan semangat anggota TLDM untuk terus komited menjalankan tugas dan amanah melindungi kedaulatan maritim, sekali gus menjaga keamanan negara.