fb fb fb fb fb

Isu MyKad palsu: Seorang individu ditahan

Foto FB Saifuddin Nasution Ismail

POKOK SENA, 8 Mac- Seorang individu ditahan bagi membantu siasatan susulan isu MyKad palsu yang tular, baru-baru ini.

Lelaki berusia 35 tahun yang juga suspek utama itu ditahan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada pukul 7.30 malam semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia hasil risikan yang dilakukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
 
Selepas tangkapan tersebut, satu lagi MyKad palsu ditemui dalam dompet suspek.
 
Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 25 (1) (e), 25 (1) (a), dan 25 (1) (g) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
 
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

"Hasil soal siasat, saya ingin membuat kesimpulan bahawa kita tidak menolak kemungkinan untuk melakukan tangkapan susulan yang berkaitan dengan soal siasat terhadap tangkapan pertama yang telah dilakukan.

"Buat masa ini, kita fokus kepada kes ini terlebih dahulu, sebab itu saya katakan kita tidak menolak kemungkinan untuk melakukan tangkapan lagi.

"Sama ada individu tersebut berada di bawah sindiket atau tidak, masih terlalu awal untuk dipastikan. Buat masa ini, kita selesaikan kes ini dahulu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di Masjid Ar-Raudhah Kariah Sungai Durian di sini.

Terdahulu, tular kenyataan seorang individu yang mendakwa MyKadnya yang hilang beberapa tahun lalu telah digunakan oleh individu tidak dikenali untuk membuat pinjaman membeli peranti elektronik.
 
Individu terbabit turut terkejut kerana MyKad miliknya memaparkan wajah individu lain.
 
Susulan itu, pemilik asal MyKad tersebut telah tampil membuat laporan kepada pihak polis dan JPN.
 
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata 4,565 pelajar sekolah atau 38 peratus daripada keseluruhan 12,101 pelajar yang mempunyai masalah dokumentasi berkaitan sijil lahir, kad pengenalan dan sijil kewarganegaraan telah diselesaikan, setakat semalam.
 
Ia menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Didik hasil kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

Jelasnya, JPN menerusi Program MEKAR Didik meletakkan sasaran untuk menyelesaikan semua kes tersebut menjelang Jun ini bagi mengelakkan pelajar terbabit keciciran pelajaran.
 
"Jadi kami yakin menjelang Jun (ini) kami boleh selesaikan. Jadi satu lagi mercu tanda kejayaan JPN untuk menyelesaikan masalah dokumentasi dalam kalangan mereka yang bermasalah," katanya.
 
Sempena program itu, beliau turut menyerahkan sijil dan surat keputusan warganegara kepada 17 penerima.
 
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul kasih kepada golongan asnaf dan sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim di sekitar kawasan tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM