fb fb fb fb fb

Sultan Perak titah umat Islam teladani hijrah nabi, prinsip kedaulatan undang-undang

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-73 yang diadakan di Hotel Palm Garden, Kuala Lumpur

PUTRAJAYA, 1 Julai - Umat Islam di negara ini diminta menedelani peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, yang mencetuskan penubuhan sebuah negara Islam.

Titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, perkara paling utama perlu diteladani iaitu prinsip kedaulatan undang-undang yang dijadikan asas pemerintahan menggantikan pemerintahan berasaskan individu dengan tergubalnya Perlembagaan Madinah.

"Perlembagaan Madinah ialah perlembagaan bertulis pertama di dunia, berperanan sebagai undang-undang yang dijadikan sumber rujukan pemerintahan mengandungi 52 perkara berteraskan prinsip satu pemerintahan, satu perundangan, menempatkan Rasulullah SAW bertanggungjawab sebagai kuasa tertinggi pemerintah.

“Namun pada setiap ketika insaf meletakkan diri Baginda bertaraf hamba dan pesuruh Allah, berpegang teguh pada prinsip ketauhidan Ilahi, bahawa hanya Allah yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa,," titah Baginda. 

Sultan Nazrin bertitah semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-73 yang diadakan di Hotel Palm Garden, di sini. 

Titah Baginda lagi, Perlembagaan Madinah mempamerkan perlembagaan yang sangat terperinci dan komprehensif yang merangkumi nilai kesetiaan, kerjasama, toleransi, hormat-menghormati serta jaminan keadilan dan perlindungan saksama kepada setiap penduduk meskipun berlainan agama, kaum, puak dan kabilah.

Turut hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na’im Mokhtar, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

TETITIA YUSOFF