KULAI, 1 Julai - RM200,000 diluluskan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi di Kampung Melayu Bukit Batu menerusi Peruntukan Mesra Rakyat Parlimen Kulai.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, projek itu dilaksanakan susulan kejadian banjir yang berlaku sebanyak empat kali pada awal tahun ini.
Bencana itu menyebabkan penduduk kampung mengalami kerosakan rumah, kehilangan harta benda dan berdepan trauma berpanjangan.
Projek berkenaan menyasarkan dua matlamat utama, iaitu mengurangkan risiko banjir, serta meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan terbabit untuk memastikan kejadian banjir tidak berulang.
“Kerja-kerja sedang giat dilaksanakan oleh pihak kontraktor pelaksana. Terima kasih kepada agensi teknikal dan komuniti setempat yang sentiasa memberikan kerjasama. Saya komited untuk memastikan kesejahteraan warga Kulai terus terbela,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kampung Melayu Bukit Batu adalah antara kawasan berisiko tinggi dilanda banjir di daerah Kulai berikutan sistem saliran tidak lagi mampu menampung aliran deras air hujan. - BERNAMA