fb fb fb fb fb

Sultan Perak berkenan terima zakat perniagaan RM9.26 juta

Sultan Nazrin berkenan menerima zakat perniagaan untuk diserahkan kepada MAIPk daripada enam syarikat korporat

KUALA KANGSAR, 23 Mac - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama-sama media, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan belia di Istana Iskandariah, malam ini.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin turut berkenan menerima zakat perniagaan untuk diserahkan kepada MAIPk daripada enam syarikat korporat dengan jumlah keseluruhan RM9.26 juta.

Penyerahan zakat perniagaan didahului Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Roni Abdulwahab dengan bayaran berjumlah RM947,217.

Ia disusuli Empayar Indera Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Besar Empayar Indera Sdn. Bhd. Hasrin Abdul Rahman dengan jumlah RM200,000.

Pada majlis sama, Koperasi Guru-Guru Melayu Kerian dan Selama Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Mohd Shafie Md Rejab turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM100,000.

Seterusnya diikuti oleh Koperasi Peserta-Peserta Rancangan Felcra Seberang Perak Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Koperasi, Shamsuddin Yusof dengan bayaran berjumlah RM248,130.

Turut menunaikan zakat perniagaan ialah Lembaga Tabung Haji yang diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman dengan jumlah RM7.47 juta dan PINS Network Solutions Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Adi Reza Abd Razak sebanyak RM300,000.

Sultan Nazrin turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama-sama para tetamu serta berkenan berangkat ke majlis santapan.

TETITIA YUSOFF