KANGAR, 23 Mac- Institut Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara rasmi meluncurkan Inisiatif Kad MySiswa dalam usaha memperkasakan mahasiswa sekali gus berpotensi memartabatkan gaya hidup pelajar di instituti pengajian tinggi.
Sebelum ini kad berkenaan dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa, kini ditambah baik bagi membolehkan pengunaannya lebih optimum.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelaksanaan kad itu bakal memberi manfaat kepada lebih 500,000 mahasiswa di 20 buah universiti awam seluruh negara.
"Jadi dia boleh guna macam kita pakai kad kredit, penggunaannya ditambah baik supaya ia menggunakan satu kad sahaja.
"Kalau tidak pelajar perlu menggunakan kad pelajar untuk masuk ke kampus, dan sekiranya untuk melakukan urusan lain ia memerlukan kad yang lain seperti bantuan pembiayaan pelajaran, kali ini dia hanya gunakan satu kad sahaja," selepas meluncurkan inisiatif Kad MySiswa secara rasmi sempena Majlis Semarak Ramadan KPT di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh Putra.
Tambah beliau, kad berkenaan juga boleh digunakan sebagai akses universiti serta sebagai akaun rasmi pelajar untuk kegunaan seharian.
Dalam pada itu, RHB Islamic Bank Berhad selaku pelaksana kepada kad berkenaan turut akan membuat beberapa lagi penambahbaikan bagi memudahkan pelajar.
"Kita tahu kebanyakan pelajar mengunakan kad untuk makanan, mobiliti, pengangkutan dan lain-lain.
"Jadi kami memang telah diberikan tanggungjawab oleh KPT untuk memberikan keistimewaan ini. Setakat ini pun dan ada lebih 100 peniaga yang bagi diskaun, dan kami sedang tambah baik lagi," katanya.