fb fb fb fb fb

Pasangan suami isteri maut, anak berusia 6 bulan cedera

Kemalangan di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi

KOTA TINGGI, 16 November - Pasangan suami isteri maut, manakala bayi perempuan mereka berusia enam bulan cedera, selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori, di kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi pukul 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dalam satu kenyataan memaklumkan, bayi tersebut berada di tempat duduk kanak-kanak di bahagian belakang, semasa kejadian berlaku.

"Kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan, dan berlanggar dengan lori terbabit.

"Pemandu lelaki berumur 24 tahun, dan isterinya 28 tahun, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," menurut kenyataan itu.

Manakala bayi mereka cedera di kepala dan dirawat di Hospital Kota Tinggi. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI