PUTRAJAYA, 16 November - Empat sekeluarga dijangkiti mpox dalam satu kluster baharu membabitkan kes indeks seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pesakit indeks itu mula bergejala pada 20 Oktober sebelum disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.
"Tiga ahli keluarga serumah pula mula menunjukkan gejala pada 30 Oktober dan disahkan positif sehari selepas itu.
"Semua pesakit berada dalam keadaan stabil dan menjalani pengasingan di rumah, manakala kontak rapat sudah dikenal pasti, disaring dan diarahkan menjalani pengasingan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
KKM menegaskan penularan hanya berlaku dalam lingkungan keluarga dan situasi kluster adalah terkawal.
KKM menjelaskan mpox ialah jangkitan disebabkan virus monkeypox dengan gejala seperti demam dan ruam pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan serta mata.
Tambah kenyataan itu, penularan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu dijangkiti, hubungan seksual, atau permukaan tercemar cecair badan pesakit.
"Penyakit boleh menjadi serius bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah," katanya.
Setakat Minggu Epidemiologi ke-46 tahun ini, sebanyak 12 kes mpox dilaporkan menjadikan keseluruhan 23 kes kumulatif di Malaysia sejak Julai 2023.
Daripada jumlah itu, 22 kes membabitkan Clade II dan satu kes Clade Ib, semuanya berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan dan pemeriksaan kontak.
KKM menasihatkan orang ramai mengelak sentuhan dengan individu bergejala, mendapatkan rawatan segera jika mengalami demam dan ruam lepuh, serta menjalani ujian jika diarahkan pegawai perubatan.
Walaupun status PHEIC mpox ditamatkan pada 5 September lalu, pemantauan berterusan tetap dilaksana bagi memastikan penularan tidak berlaku dalam komuniti.