fb fb fb fb fb

40% hasil Sabah: Langkah penting ke arah hubungan lebih konstruktif

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 November - Keputusan Kerajaan Persekutuan tidak merayu berhubung isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil, dianggap sebagai langkah penting ke arah hubungan lebih konstruktif dengan Kerajaan Negeri Sabah.

Penyelidik Borneo Geopolitics and Electoral Studies (GeoPES) Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, keputusan itu membuka ruang kepada rundingan lebih matang dan berkesan.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan (UMS) turut menyifatkan keputusan itu mencerminkan semangat kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan.

"Ini menunjukkan wujudnya semangat yang kukuh dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan segala keperluan yang ditetapkan oleh mahkamah dapat direalisasikan melalui kerjasama erat kedua-dua pihak.

"Rundingan akan diteruskan, dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri yang bakal dibentuk nanti bukan sahaja akan memberi suntikan semangat baharu kepada rakyat Sabah, malah turut mendorong kerajaan melaksanakan yang terbaik untuk rakyat dan negeri itu sendiri," katanya ketika dihubungi RTM.

Dalam pada itu beliau turut menjangkakan komponen utama yang menjadi fokus dalam rundingan berkenaan termasuk garis panduan keputusan mahkamah berkaitan kadar 40 peratus, menentukan kaedah pembayaran sama ada sekali gus atau berfasa, dan menilai kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pembayaran tersebut.

"Masing-masing saling memberi ruang dan peluang antara satu sama lain untuk memastikan matlamat pembayaran 40 peratus hasil pendapatan negeri Sabah oleh Kerajaan Persekutuan dapat direalisasikan, seperti yang telah dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

"Saya yakin resolusi jawatankuasa itu turut mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya lagi.

1611 FUP SYAHRUDDIN 40 PERATUS
Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI