MUALLIM, 5 Oktober- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di Tanjung Malim, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.
SMK Proton City mula dibina pada 28 Julai 2015 dan siap sepenuhnya pada 25 Julai 2017 menelan kos sebanyak RM29.9 juta.
Sekolah yang dibina di atas tanah seluas 9.349 hektar, mula beroperasi pada 5 Februari 2018 dilengkapi 42 bilik darjah dengan kemudahan seperti dewan, padang, surau dan kantin.
Usai majlis perasmian, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran disediakan pelajar dan guru sebelum berangkat pulang.
(FOTO BERNAMA)