fb fb fb fb fb

Faudzinaim Badaruddin, Mufti Negeri Sembilan baharu

Foto FB SUK NS

SEREMBAN, 5 Oktober- Profesor Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin, 58 tahun dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2023.

Pelantikan beliau sebagai Mufti Negeri Sembilan ke-5 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk menggantikan Datuk Hj. Mohd Yusof Haji Ahmad, Mufti Negeri Sembilan ke-4 yang telah berkhidmat selama 13 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dalam kenyataan memaklumkan, Profesor Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin merupakan anak Negeri Sembilan yang berkhidmat sebagai ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Anggota Jilsah Al-Turuq Al-Sufiyyah, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Pelantikan beliau berdasarkan kelayakan dan kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam beberapa bidang agama Islam selain merupakan seorang tokoh akademik yang aktif dalam memberi sumbangan kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.


(Foto FB SUK NS)

Antara bidang pengkhususan yang menjadi kajian beliau adalah tasawuf dan tarekat, ajaran sesat, perbandingan mistisisme dan kajian perbandingan agama.

Terdahulu, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said (SHAMS), Seremban sebelum menyambung pengajian ke UKM bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian), Fakulti Pengajian Islam.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di The School of Oriental and African Studies, University of London seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah di universiti sama.

Media Baharu