fb fb fb fb fb

Sultan Pahang titah kajian terperinci di kawasan runtuhan tanah

Foto FB Kesultanan Pahang

CAMERON HIGHLANDS, 21 Oktober-Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kajian terperinci dijalankan di kawasan yang sering berlaku kejadian tanah runtuh.

Baginda turut bertitah agar pihak yang mempunyai kemahiran supaya melakukan kajian bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk didiami penduduk.

"Saya berharap pihak-pihak yang pakar dalam bidang cerun, seperti JKR (Jabatan Kerja Raya) atau JPS (Jabatan Pengairan Dan Saliran), dapat membuat tinjauan serta kajian terperinci khususnya di kawasan yang mempunyai ramai penduduk," titah Baginda ketika melakukan tinjauan ke kawasan tanah runtuh di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Ruil di sini.

Baginda turut mengingatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati sekiranya hujan lebat berlaku.

Dalam kejadian pada 7 Oktober lepas, seramai 70 penduduk daripada 12 keluarga di kampung tersebut dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM