fb fb fb fb fb

Malaysia Presiden AIPA, utamakan ketersambungan, keterangkuman ASEAN- Johari

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul/ BERNAMA

VIENTIANE, 21 Oktober- Malaysia, selaku Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) tahun depan, akan mengutamakan peningkatan ketersambungan ASEAN dengan memperluas infrastruktur fizikal dan digital bagi merangsang perdagangan, pelaburan dan pergerakan rakyat.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam ucapannya ketika menerima jawatan Presiden AIPA ke-46, turut mengulangi dedikasi Malaysia terhadap perpaduan serantau dan diplomasi parlimen.

“Kami berhasrat meneruskan usaha pemimpin terdahulu, memacu kemajuan dan menangani cabaran ASEAN. Ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya dalam ASEAN,” katanya pada Majlis Penutupan AIPA ke-45 di sini hari ini.

Mesyuarat empat hari bertemakan Peranan Parlimen dalam Meningkatkan Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Inklusif ASEAN bermula Jumaat (18 Okt), di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, mengumpulkan delegasi daripada parlimen negara anggota ASEAN, pemerhati dan rakan pembangunan AIPA.

Johari berkata Malaysia akan memperjuangkan keterangkuman semasa menjadi presiden dan menerusi bekerjasama, beliau yakin negara-negara anggota ASEAN dapat mencapai visi bersama mereka untuk menjadi sebuah rantau yang bersatu dan makmur serta menjadikan rantau ini sebagai peneraju global dalam pelbagai isu dunia.

Johari berkata AIPA berfungsi sebagai platform penting untuk dialog, kerjasama dan saling memahami di seluruh Asia Tenggara yang menggambarkan masa depan negara anggota yang dikongsi bersama.

Beliau menekankan keperluan untuk pertumbuhan inklusif bagi memastikan rakyat ASEAN meraih manfaat daripada integrasi serantau, yang memerlukan pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur, serta menyelaraskan dasar dan mengurangkan halangan perdagangan untuk mempercepat integrasi ASEAN.

Johari turut menekankan keselamatan makanan sebagai isu penting yang memerlukan kerjasama serantau dan menggesa tindakan segera dalam menyegerakan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui kerana ia akan menjadi faktor utama untuk mencapai masa depan mampan.

Beliau juga menggesa ASEAN untuk memanfaatkan inovasi bagi merangsang pertumbuhan dan merapatkan jurang akses digital dalam era digital kini.

“Dengan melabur dalam infrastruktur digital dan memperkasakan belia dan PKS (perusahaan kecil dan sederhana), kita boleh memanfaatkan potensi ekonomi digital,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kemajuan tersebut mesti disokong oleh langkah-langkah keselamatan siber yang kukuh dan rangka kerja tadbir urus untuk memastikan ruang digital yang selamat dan boleh diakses oleh semua.

Mengenai diplomasi parlimen dan isu-isu Kepusatan ASEAN, Johari menekankan kepentingan untuk menegaskan semula kepusatan dan perpaduan ASEAN dalam menangani cabaran kompleks yang dihadapi rantau ini.

“Dialog terbuka dalam kalangan Ahli Parlimen AIPA adalah penting untuk menjaga keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan diplomasi parlimen dalam melengkapkan usaha kerajaan, menyeru ahli parlimen untuk bekerjasama rapat dengan badan-badan ASEAN, masyarakat sivil dan sektor swasta untuk membina ASEAN yang lebih makmur dan selamat.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Presiden Dewan Rakyat Laos dan Presiden AIPA-45 Xaysomphone Phomvihane secara simbolik menyerahkan jawatan presiden AIPA ke-46 kepada Johari.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN