fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi petrol, kerajaan pertimbang guna pangkalan data

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Kerajaan mempertimbang menggunakan pangkalan data yang dihubungkan dengan kad pengenalan, selain e-dompet dan kad debit yang dijadikan sebahagian daripada mekanisme sistem penetapan harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi petrol RON95.

Langkah tersebut bagi memastikan mekanisme yang diwujudkan dapat mengurangkan ketirisan subsidi.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, mekanisme RON95 bakal dilaksanakan menggunakan mekanisme kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Dalam mencapai apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, di mana majoriti besar rakyat akan terus menerima manfaat subsidi, satu bentuk penetapan harga berperingkat sedang dipertimbangkan.

"Antara pilihan yang sedang dinilai termasuklah pembangunan pangkalan data pengguna, di mana 85 peratus pengguna yang layak akan menerima subsidi, manakala 15 peratus lagi tidak layak, termasuk perniagaan serta individu dengan pendapatan melebihi tahap tertentu,” katanya pada Perbahasan Pasca Belanjawan 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) hari ini.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM