fb fb fb fb fb

Sultan Pahang berkenan rasmi kilang peluru Ketech Asia

Foto BERNAMA

LIPIS, 6 Februari- Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan kilang peluru automasi tinggi pertama dalam negara milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), yang terletak di sini, hari ini.

Pembukaan kilang berkeluasan 100 ekar tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha syarikat berkenaan menjadi pengeluar peluru buatan Malaysia.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik kewujudan kilang peluru tersebut yang membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana syarikat yang mendatangkan kebaikan dan hasil yang baik untuk Negeri Pahang, titahnya demikian di sini.

Majlis perasmian tersebut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Datuk’ Seri Mohamad Najib dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nahar Nasir berkata, kilang tersebut itu akan memperkukuhkan pembangunan industri pertahanan negara sekali gus kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Jelasnya, kilang peluru tersebut akan mula beroperasi pada 1 Mac ini dan dijangka mula pengeluaran di pasaran tempatan antara Jun dan Julai tahun ini.

Tambahnya, terdapat beberapa negara yang telah menunjuk minat untuk mengimport peluru berkenaan seperti Brunei, Singapura, Kemboja, Afrika dan Asia Barat.

“Selepas kita memulakan operasi kita pada bulan Mac ini, Insya-Allah kita akan jangkakan pengeluaran sebenar untuk lokal dalam bulan Jun atau Julai.

"Sekarang kita mula produksi untuk simpanan dahulu,” katanya di sini.

Beliau berkata, kilang tersebut dijangka mengeluarkan sebanyak 60 juta butir peluru bagi kaliber 9 mm dan 60 juta butir peluru bagi kaliber 5.56 mm.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD