fb fb fb fb fb

Sultan Pahang berhasrat wujudkan universiti al-Quran

Titah baginda, sebelum ini fakulti hadis juga telah diwujudkan di universiti Islam itu.

KUANTAN, 8 Mac- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri itu mempertimbang cadangan untuk mewujudkan Fakulti al-Quran di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

Titah baginda, sebelum ini fakulti hadis juga telah diwujudkan di universiti Islam itu.

"Mungkin sampai masanya, kita wujudkan juga fakulti untuk al-Quran supaya dapat anak-anak muda kita menjurus kepada subjek ini, supaya dapat mencapai diploma dan mungkin ijazah dan mungkin suatu hari nanti kalau kita berjaya untuk mengembangkan fakulti ini, mungkin kita boleh wujudkan universiti al-Quran di Pahang," titah Sultan Pahang pada Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang di Kuantan.

Baginda berharap, pihak kerajaan melalui Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dapat bekerjasama dengan pihak universiti untuk menjalankan kajian dan meneliti cadangan mewujudkan universiti tersebut.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis itu, Mohamad Syaheed Sabri dinobat sebagai Johan Qari, manakala Qariah dimenangi Nurul Saadah Mohammad Zaini.

Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Bagi pelajar Sarjana Pengajian Quran Dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Saadah, 26 tahun, ia merupakan kali pertama beliau bergelar Johan selepas empat kali menyertai Pertandingan Tilawah Peringkat Negeri Pahang.

"Saya kena tambah lagilah latihan berbanding di peringkat negeri dan saya juga harap tunjuk ajar daripada para asatizah terutamanya di peringkat negeri Pahang sendiri dan juga insya-Allah saya juga cuba cari juga inisiatif sendirilah untuk tambah baik bacaan saya, insya-Allah," kata Nurul Saadah.

Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini dijadual berlangsung di Kuantan pada 23 hingga 28 Mei depan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM