KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda Terengganu Rekreasi di kawasan Alur Tuman Perairan Marang.
Pada majlis itu Tuanku Sultan Mizan berkenan meletakkan plak perasmian pada tukun yang berada di dasar laut di perairan Alur Tuman.
Sebanyak 20 tukun tersebut dilabuhkan di sekitar perairan tersebut hari ini.
Terdahulu keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan menaiki bot Jabatan Perikanan di Jeti Duyong Marina Resort, Pulau Duyong.
Ketika berlabuh di perairan Marang baginda juga berkenan melakukan selaman ke dasar dan menyempurnakan program itu dengan memasukkan plak perasmian pada tukun.
Selesai sesi selaman tersebut, baginda kemudiannya menyempurnakan acara melabuhkan satu unit tukun dengan memicit 'air horn' sebelum berangkat pulang.
Program melabuhkan tukun tiruan tersebut merupakan sebahagian daripada 100 unit tukun yang dibina dan dilabuhkan pada tahun ini, iaitu menerusi Program Memperkayakan Sumber Perikanan Marin Negeri Terengganu.
Sebelum ini 20 unit tukun sudah dilabuhkan di setiap tapak sekitar perairan Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus.
Keseluruhan kos projek berjumlah RM3.1 juta itu menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024.