fb fb fb fb fb

Hanya satu PPS masih beroperasi di Johor

Foto APM

JOHOR BAHRU, 10 Oktober - Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup menjadikan hanya satu PPS yang masih beroperasi di Batu Pahat setakat pukul 2.00 petang tadi.

Penutupan PPS itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Markom, Pontian pada pukul 12.30 tengah hari manakala SK Sungai Linau, Kluang dan SK Seri Anom, Pontian pada pukul 2.00 petang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, jumlah penduduk terjejas juga terus berkurangan kepada 17 orang melibatkan tiga keluarga berbanding 101 orang daripada 27 keluarga pukul 12.00 tengah hari tadi.

Sejumlah 17 penduduk terjejas masih ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat.

Dalam pada itu, tinjauan pada pagi tadi di Kluang mendapati penduduk mula kembali ke kediaman masing-masing sebelum PPS ditutup secara rasmi.

"Mula-mula hujan lebat, selepas itu hujan dah tiada pada sebelah petang, pada malamnya kira-kira pukul 9.00 air mula naik dengan tiba-tiba. Bagaimanapun kami sempat selamatkan barang, Alhamdulillah. Air masa itu paras lutut, tetapi hanya sehari sajalah. Semalam kami ada pulang dan bersih kediaman kami," kata penduduk terjejas, Nor Atika Aris Padilah.

"Saya adalah menanam tanaman seperti serai, bendi dan lada. Tapi semua dah musnah akibat banjir, semua tidak dapat diselamatkan," kata Salman Leman.

TETITIA YUSOFF