fb fb fb fb fb

Pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas Al-Arqam ditangguhkan

Pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad ditangguhkan pada 19 Disember

AYER KEROH, 10 Oktober- Pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad ditangguhkan ke 19 Disember depan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Melaka.
 
Keputusan dibuat Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin selepas dipohon pihak pendakwaan diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.

Terdahulu, Atras memberitahu mahkamah terdapat tujuh lagi suspek masih direman dan disiasat bagi kes sama oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). 
 
Sehubungan itu, pihaknya memohon pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 38, 42 dan 45 tahun itu ditangguhkan ke satu tarikh ditentukan mahkamah.
 
Penangguhan bagi membolehkan pendakwaan menentukan sama ada fakta siasatan dan semua suspek akan dipertuduhkan bersama kelak mengikut Seksyen 63 dibaca bersama Seksyen 91 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 atas kesalahan menghina dan mempersendakan agama Islam serta percubaan melakukan kesalahan itu.
 
Permohonan dibuat mengikut peruntukan Seksyen 95 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Melaka 2002.
 
Memandangkan tempoh reman ketiga-tiga suspek tamat hari ini, pendakwaan juga memohon jaminan baharu 3 ribu ringgit atau dengan dua penjamin setiap seorang.
 
Peguam Syarie, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad mewakili semua tertuduh tidak membantah permohonan itu.
 
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 19 Disember depan.
 
Terdahulu dalam Op Global yang dilaksana di Melaka seramai 11 individu ditahan manakala 34 kanak-kanak diselamatkan ketika serbuan di 19 premis dipercayai berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI