fb fb fb fb fb

Sultan Kedah titah jemaah haji jaga akhlak, jauhi anasir tidak sihat

ALOR SETAR, 23 Mei- Mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadat haji, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berharap umat Islam khususnya di Kedah terus bersatu hati, tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Kedah khususnya dan Malaysia amnya.

Baginda turut menyeru bakal jemaah haji agar sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Kedah.
 
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, ibadat haji memerlukan pengorbanan dari segi wang ringgit, masa dan tenaga dan mereka perlu bersedia dalam semua aspek terutamanya dari segi kesihatan mental, fizikal dan spiritual.
 
Melihat kepada situasi pandemik Covid-19 dunia yang masih belum pulih sepenuhnya, baginda menasihati bakal Jemaah haji untuk terus menjaga kebersihan diri dan memastikan semua Prosedur Operasi Standard, SOP dipatuhi.
 
Semua bakal jemaah haji juga harus mematuhi dan menghormati peraturan, serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.
 
"Pada musim haji kali ini dijangka tiga juta umat Islam dari pelbagai negara akan mula berkumpul semula di tanah suci. Perhimpunan besar ini pastinya mencabar sekali gus mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan berkasih sayang tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya,"titah baginda.
 
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Negeri Kedah ke Tanah Suci bagi musim Haji 1444 Hijrah di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, di Alor Setar, Kedah.
  
Dalam titah ucapan sama, baginda menyeru jemaah haji supaya memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Malaysia kekal sejahtera dan dijauhkan dari bencana serta malapetaka yang tidak diingini.
 
Seramai 2,321 bakal Jemaah haji dari Kedah akan menunaikan rukun Islam yang ke lima itu.
 
Kesemua mereka telah dan akan menaiki 11 penerbangan secara berperingkat-peringkat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA dan seterusnya menaiki penerbangan sewa khas ke Tanah Suci bermula 20 Mei lalu hingga 29 Mei ini.


 (Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah pada Majlis Mengucapkan
Selamat Jalan 
kepada Jemaah Haji Negeri Kedah ke Tanah Suci bagi musim
Haji 1444 Hijrah 
di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia, di Alor Setar, Kedah)

Media Baharu