KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada 9 pagi disambut Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja bertitah, perbarisan itu membuktikan ATM sentiasa komited dalam usaha untuk menjadi angkatan masa hadapan yang bersepadu dalam mendepani ancaman pada masa hadapan yang tidak menentu
"ATM sebagai tonggak utama pertahanan negara, dalam mempertahankan bumi Malaysia yang tercinta, dan sebagai sebuah negara yang berdaulat.
"Sesungguhnya, profesion ketenteraan adalah satu kerjaya yang mulia. Kerjaya ini memerlukan pengorbanan, komitmen dan disiplin yang tinggi, serta kesungguhan individu untuk kekal bersedia, bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman," titah baginda.
Turut mengiringi keberangkatan baginda, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Keberangkatan tiba baginda juga disambut Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Pada istiadat berkenaan juga, Sultan Sallehuddin berkenan membuat pemeriksaan barisan oleh 325 Pegawai Kadet Graduan ATM yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhamad Saddiq Hussaini Rasidi.
Baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Pedang Kehormat berserta Piala kepada tiga pegawai kadet graduan terbaik bagi setiap perkhidmatan ATM iaitu Leftenan Muda Muhammad Saddiq Hussaini Rasidi (TDM), Leftenan Muda Muhammad Danish Haiqal Abdul Nasir (TLDM) dan Leftenan Muda Nur Aisyah Yaacob (TUDM).