KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Hampir 30 individu ditahan bagi membantu siasatan kes rusuhan melibatkan perebutan lori tunda ke atas kenderaan yang terlibat kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, dekat Sungai Besi, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua yang ditahan masih direman.
Beberapa suspek yang disyaki terlibat juga sedang diburu polis.
"Buat masa ini kita dah tangkap hampir 30 orang dan ada lagi beberapa suspek yang kita masih mencari, kita tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini.
"Saya beri amaran keras kepada mereka-mereka ini, kita akan cari sampai dapat dan akan pastikan perkara ini dapat dibanteras.
"Jadi, jangan mencabar kita (polis), kita akan ambil tindakan," katanya ketika ditemui pemberita di Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada satu kes kemalangan kereta dan pergaduhan antara dua pihak untuk menunda kereta terbabit.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
(Antara suspek yang ditahan akibat merusuh di ibu negara)