KUALA LUMPUR, 7 Oktober- FGV Holdings Berhad (FGV) telah memulakan penanaman beras wangi di barat laut Selangor dan Seberang Perak yang meliputi kira-kira 700 hektar di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).
Menurut Ketua Pertanian Bersepadu FGV Razak Aya, usaha tersebut merupakan komitmen di bawah agenda keselamatan makanan negara dan melibatkan 400 orang pesawah.
(Ketua Pertanian Bersepadu FGV Razak Aya)
"Harga yang ditawarkan memang kompetitif, sebab harganya adalah harga beras wangi dan sekarang ni memang jadi isu beras tempatan.
"Jadi ini adalah satu komitmen kita untuk memastikan beras tempatan, beras wangi juga dihasilkan oleh petani tempatan, bukan hanya beras putih biasa", katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Yogurt Acerola di AEON BiG Wangsa Maju.
Tambahnya, inisiatif ini bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memastikan Malaysia mempunyai keterjaminan hasil yang baik.
Dengan kerjasama FGV dan pesawah, hasil dapat ditingkatkan hampir dua kali ganda, iaitu dari 3.5 hingga 4 tan satu hektar kepada 6 hingga 7 tan.