fb fb fb fb fb

Sultan Kedah berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Pahlawan 2025

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah tahun 2025, di Masjid Tun Hussein, Titi Gajah

ALOR SETAR, 29 Julai - Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil sempena Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah tahun 2025, di Masjid Tun Hussein, Titi Gajah, di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pegawai Kewangan Negeri Kedah Datuk Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Datuk Dr. Abd Ghani@Zulkifli Zainuddin.

Turut berangkat ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehudin.

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Muda Kedah kemudian menunaikan solat Maghrib diikuti majlis bacaan Yasin dan doa serta solat Isya' yang diketuai Imam Masjid Tun Hussein Haji Mohamad Adib Omar.

Baginda kemudian meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

Sambutan Hari Pahlawan merupakan manifestasi penghargaan negara terhadap jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempertahankan kedaulatan tanah air.

TETITIA YUSOFF