(FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kesemua penjawat awam di negeri itu dari peringkat bawahan mahupun atasan untuk hidup dalam kadar kemampuan sendiri bagi mengelak daripada terpalit rasuah.
Titah baginda, semua penjawat awam perlu mengisytiharkan harta setiap tahun bagi mencegah pemilikan harta luar biasa.
“Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ia juga boleh menjadi faktor tekanan hidup terutama di bandar-bandar besar," titah baginda kepada Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor iaitu Royal Press Office.
Tambah baginda, penjawat awam di negeri tersebut perlu sentiasa menerapkan integriti tinggi yang mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.
“Perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan pihak berkuasa.
“Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah baginda.
(FOTO HIASAN)