fb fb fb fb fb

Ubah suai kepada asal atau dikenakan tindakan - Nga Kor Ming

(FOTO HIASAN)

IPOH, 15 Oktober - Pemilik premis yang menyewakan bilik sewa sempit seumpama 'liang lahad' akan dikenakan tindakan tegas, sekiranya tidak mengubahnya kembali kepada bentuk asal.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, keadaan premis sewa seperti itu akan membahayakan nyawa dan mengundang kepada risiko kebakaran serta kesan kepada kesihatan mental penyewa.

Untuk permulaan pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis yang telah melanggar peraturan dengan mengubah suai rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sekarang ini saya beri peluang dahulu kepada pemilik premis, sekiranya pihak berkenaan gagal mematuhi undang-undang, kita tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan tegas dalam masa terdekat," kata Nga Kor Ming, di sini.

(Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ditemui media
selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan pasar sementara Pasir Pinji di sini)


Pemilik premis yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 79.

Sebelum ini ada laporan daripada sebuah akhbar tempatan mengenai tingkat atas sebuah rumah kedai di Lembah Klang berkeluasan 21 meter x 6 meter telah diubah suai dengan menempatkan 38 bilik seperti kapsul, dan pintu gelangsar dijadikan sebagai dinding pemisah antara kesemua bilik.

Pemilik premis mengenakan kadar sewa dengan kadar bayaran bermula RM300 dengan keluasan sangat sempit, hanya sedepa tangan selain mempunyai bau yang tidak menyenangkan.

Media Baharu