(FOTO HIASAN)
JOHOR BAHRU, 15 Oktober- Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) diharap dapat memanfaatkan peruntukan pendigitalan SME, sebanyak RM100 juta daripada Belanjawan 2024 bagi meningkatkan sistem perniagaan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching berkata, peruntukan tersebut juga memberi peluang kepada SME, untuk menambah produktiviti operasi.
"Jadi saya berharap bahawa semua rakyat Malaysia, tak kira sama ada mereka adalah e- vendor, berniaga di rumah sendiri sahaja, atau mereka SME, atau mereka syarikat yang berdaftar di Bursa dan sebagainya, semua boleh menggunakan ambil peluang ini," katanya semasa program Info On Wheels, di Kulai, hari ini.
(Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching)
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Teo menyeru pengendali akaun portal dan media sosial, untuk lebih bertanggungjawab menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum membuat hantaran.
Ia bagi mengelakkan berita palsu tersebar di media sosial, seterusnya mencetuskan kerisauan orang awam.
Beliau berkata demikian susulan terdapat penyebaran berita palsu, kononnya sah terdapat bom dijumpai di dalam sebuah pusat membeli belah, di Johor Bahru, semalam.
"Kerana saya nampak semalam di sosial media, ada portal atau akaun sosial media yang menyatakan bahawa sebenarnya sah ada bom, didapati di Mid Valley, tetapi sebenarnya selepas usaha PDRM semalam, ia sebenarnya adalah satu berita palsu, yang tidak patut disebarkan kerana ia mewujudkan kerisauan dan kebimbangan orang lain," katanya.
Tambah Teo, pengendali akaun media sosial dan portal juga dinasihat tidak mengabaikan langkah semakan fakta dengan pihak berkuasa, semata – mata untuk mendapatan perkongsian dan 'like' yang tinggi pada hantaran mereka.
Tegas beliau, pihaknya memandang serius terhadap perbuatan menyebar berita palsu tersebut, dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.