KUALA LUMPUR, 1 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-92 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM), veteran serta mereka yang pernah berkhidmat.
Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan penghargaan kepada anggota TDM yang menjaga kedaulatan negara.
Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, bakti dan pergorbanan dicurahkan seluruh warga dan bekas anggota TDM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.
"Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada," titah Sultan Ibrahim.
Hari Tentera Darat disambut pada setiap 1 Mac bagi mengukuhkan kesatuan warganya serta mengeratkan hubungan TDM dengan masyarakat.
Selain itu ia sebagai mengenang pengorbanan warga TDM yang berjuang demi mengekalkan kedaulatan tanah air.