SHAH ALAM, 1 Mac- Pindaan melibatkan Akta KWSP 1991 dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pindaan akta itu bagi membolehkan pelaksanaan caruman wajib kepada pekerja asing.
"Jumlah sebenar dana daripada pekerja asing belum diketahui.
"Tapi kalau dianggarkan, tidak lebih daripada RM5 bilion yang akan diperoleh dalam tahun yang pertama.
"Pada kadar dua peratus majikan dan dua peratus pekerja", katanya selepas Taklimat Prestasi Kewangan KWSP 2024 di sini.
Tambahnya, mekanisme mengenai skim caruman tersebut akan diperincikan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Langkah mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum KWSP dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan Belanjawan 2025.
Awal bulan ini, Perdana Menteri turut mengumumkan perubahan kadar caruman kepada dua peratus, berbanding kadar asal 12 peratus bagi mengurangkan beban majikan.