fb fb fb fb fb

Pemohon, penerima STR boleh semak permohonan guna MyDigital ID

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Mac- Pemohon dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mempunyai alternatif mengakses portal STR menggunakan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) bagi semakan dan permohonan baharu STR bermula hari ini.

Perkara itu selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2025 tentang kelebihan MyDigital ID sebagai pemudah cara dalam urusan digital rakyat dan berfungsi sebagai paksi kepada transformasi digital negara.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, MyDigital ID merupakan identiti tunggal rakyat Malaysia untuk mengakses sistem-sistem disediakan agensi kerajaan.

"Seiring pengenalan tersebut, HASiL mula menggunakan MyDigital ID sebagai pilihan Single Sign On (SSO) untuk Sistem Percukaian MyTax HASiL (MyTax) dan Sistem Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (MySTR).

"Penggunaan MyDigital ID sebagai pilihan SSO untuk sistem MyTax merupakan kemudahan pertama yang dibangunkan oleh HASiL dan telah mula dilaksanakan pada 1 Januari 2025 bagi fungsi carian Nombor TIN (Tax Identification Number)," menurut kenyataan itu.

LHDN turut memaklumkan bahawa seramai 578,828 pengguna menggunakan MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan MyTax bagi carian Nombor TIN sekali gus menunjukkan
tanda positif serta penerimaan pengguna kepada MyDigital ID.

Dalam pada itu seramai 9.665 juta pengguna portal STR bakal menggunakan kemudahan itu dan dijangka bertambah seiring dengan permohonan STR yang dibuka sepanjang tahun.

Pada masa sama LHDN turut menasihati pengguna atau pemohon bahawa mereka masih boleh menggunakan kedua-dua ID iaitu MySTR atau MyDigital ID untuk mengakses portal STR menerusi pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI