KUALA LUMPUR, 26 Februari - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada pukul 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Juga Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi.
Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja kemudiannya memainkan lagu Negaraku, diikuti tembakan meriam 21 das dari pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh.
Sultan Ibrahim kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah 'Hormat Diraja' buat kali kedua, sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.
Baginda kemudiannya berkenan ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaikan Titah Diraja, yang merupakan titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.
Berdasarkan Takwim Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan bermula esok hingga 27 Mac depan.
Sementara Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsung bemula 18 Mac hingga 4 April.